Search This Blog

Friday 10 June 2011

Bunuh Diri Murtad?



Baru-baru ini penulis dikejutkan dengan berita seorang duda bunuh diri, pelajar yang tertekan bunuh diri, kekasih kecewa bunuh diri...apabila difikirkan, terdapat banyak kes bunuh diri dan kes ini semakin meningkat. Kes bunuh diri di kalangan orang bukan Islam, adalah tidak menghairankan. Tetapi,  kes ini juga banyak berlaku di kalangan orang beragama Islam. Ini adalah amat mengejutkan dan merisaukan. 

Apakah punca mereka bunuh diri? Mengapa perlu saudara se-Islam kita memilih jalan penyelesaian untuk membunuh diri sedangkan ini adalah dilarang dalam ajaran Islam?Secara umumnya, kebanyakan mangsa mengambil jalan 'mudah' ini kerana tekanan hidup dan tidak sanggup berhadapan dengan tekanan yang dihadapinya lagi contohnya hutang yang bertimbun, masalah keluarga, masalah sosial, masalah psikologi dan banyak lagi. 

Tiada hidup yang senang di dunia yang sementara ini. Setiap manusia berhadapan dengan cabaran dan ujian hidup. Namun, setiap manusia mempunyai ujian yang berlainan. Maka, individu tidak patut berfikir bahawa dia seorang sahaja berhadapan dengan tekanan dan ujian. Setiap ujian yang mendatang adalah untuk menjadikan diri kita matang dan kuat dari segi mental mahupun fizikal untuk menjalankan hidup di dunia yang penuh cabaran dan dugaan ini. Ujian bukan sahaja datang dalam bentuk kesusahan, malah dalam bentuk kesenangan dunia. Allah SAW sentiasa mendengar, melihat dan membantu hamba-hamba-Nya. Dia tidak pernah leka mahupun letih. Sedarkah kita bahawa bantuan daripadaNya sentiasa ada di sekeliling kita, malah amat hampir? Hanya orang yang lekas berputus asa sahaja yang tidak sedar akan kenyataan ini. Setiap kesulitan pasti ada kemudahan. Walaubagaimanapun, Allah tetap mendedahkan rahsia paling penting dalam al-Quran:

“Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.”(Surah al-Insyirah: 5-6)


Seperti mana yang ALLAH telah jelaskan pada ayat-ayat tersebut, walau apapun kesukaran yang dihadapi atau bagaimana ia diatasi, ALLAH menyediakan jalan keluar dan memberikan berita gembira buat hamba-hambaNYA yang beriman. Sesungguhnya, setiap hambaNYA akan dapat menyaksikan bahawa ALLAH sentiasa mengurniakan kemudahan pada kesulitan yang dialami selagi mana hambaNYA itu kekal sabar. Dalam firmanNYA yang lain, ALLAH memberikan khabar gembira berupa petunjuk dan rahmat buat para hamba yang sentiasa takut dan mengharap padaNYA.


“…Barangsiapa yang bertaqwa kepada ALLAH nescaya DIA akan mengadakan baginya jalan keluar dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada ALLAH nescaya ALLAH akan mencukupkan (keperluannya).” (Surah a-Talaq: 2-3)

ALLAH tidak akan membebankan seseorang melebihi kadar kemampuannya.

Ada sebilangan orang percaya yang orang membunuh diri, akan dikelaskan sebagai murtad kerana berputus asa dengan bantuan Allah.  Ini adalah salah. Menurut Ustaz Abdul Kadir, perbuatan membunuh diri adalah termasuk di dalam kesalahan dosa-dosa besar, perbuatan membunuh diri ini TIDAK termasuk di dalam perkara yang menyebabkan seseorang terkeluar daripada Islam (Murtad) sebagaimana yang difahami oleh sebagai daripada kita, melainkan bagi orang yang menghalalkan perbuatan tersebut, jika dia menghalalkannya maka ketika itu dia dihukumkan sebagai kafir/murtad. 

Kita tidak menghukumkan orang yang bunuh diri sebagai murtad, kerana Nabi S.A.W. tidak melarang para sahabat dari menyembahyangkan jenazah orang yang membunuh diri. Namun baginda sendiri tidak menyembahyangkan jenazah orang tersebut sebagai pengajaran bagi orang lain. Maka menjadi sunnah kepada para ulama dan orang yang dipandang mulia, tidak menyembahyangkan jenazah orang yang mati membunuh diri sebagai mengikut perbuatan Nabi S.A.W. dan sebagai pengajaran kepada orang lain.
Daripada Jabir bin Samurah (جابر بن سمرة) R.A. katanya:

أُتِيَ النَّبِيُّ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏بِرَجُلٍ قَتَلَ نَفْسَهُ ‏ ‏بِمَشَاقِصَ ‏ ‏فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيْهِ

Maksudnya: “Didatangkan kepada Nabi S.A.W. jenazah seorang lelaki yang membunuh diri dengan anak panah, lalu baginda tidak menyembahyangkan untuknya.” (Muslim)
Al-Imam al-Nawawi di dalam Syarah Sahih Muslim ketika mensyarahkan hadith ini menyebut:
“Hadith ini menjadi dalil bagi ulama yang berpendapat tidak disembahyangkan jenazah orang yang membunuh diri disebabkan maksiat yang dia lakukan, inilah mazhab ‘Umar ibn ‘Abdul ‘Aziz dan al-Auza’ie. Manakal al-Hasan, al-Nakha’ie, Qatadah, Malik, Abu Hanifah, al-Syafi’ie dan kebanyakan ulama berpendapat: Disembahyangkan ke atas jenazah orang yang membunuh diri. (Jumhur) kebanyakan ulama ini menjawab tentang hadith ini yang baginda tidak menyembahyangkannya sebagai melarang manusia dari melakukan perbuatan yang sama (membunuh diri), namun jenazah itu disembahyangkan oleh para sahabat…”
Keputusan untuk membunuh adalah sama sekali salah dan dilarang dalam ajaran Islam. Orang yang membunuh dirinya akan diazab di akhirat kelak sebagaimana dia membunuh dirinya di dunia sepertimana dijelaskan oleh Nabi S.A.W.
Abu Hurairah R.A. meriwayakan dari Nabi S.A.W.
مَنْ تَرَدَّى مِنْ جَبَلٍ فَقَتَلَ نَفْسَهُ فَهُوَ فِي نَارِ جَهَنَّمَ يَتَرَدَّى فِيهِ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أَبَدًا وَمَنْ ‏ ‏تَحَسَّى ‏ ‏سُمًّا فَقَتَلَ نَفْسَهُ فَسُمُّهُ فِي يَدِهِ يَتَحَسَّاهُ فِي نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أَبَدًا وَمَنْ قَتَلَ نَفْسَهُ بِحَدِيدَةٍ فَحَدِيدَتُهُ فِي يَدِهِ يَجَأُ بِهَا فِي بَطْنِهِ فِي نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أَبَدًا

Maksudnya: “Sesiapa yang terjun dari bukit membunuh dirinya, dia akan terjun ke dalam neraka jahannam kakal di dalamnya selama-lamanya. Sesiapa yang meminum racun membunuh diiri, racun itu akan berada di dalam gengamannya, dia akan menghirup racun itu di dalam neraka jahannam kekal di dalamnya selama-lamanya. Siapa yang membunuh dirinya dengan besi, maka besi itu akan berada dalam gengamannya, dia akan menikamkannya di perutnya di dalam neraka jahannam, kekal di dalamnya selama-lamanya.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
Daripada Thabit bin Dhohak R.A. (ثابت بن الضحاك), sabda Nabi S.A.W.:


  مَنْ قَتَلَ نَفْسَهُ بِشَيْءٍ فِيْ الدُّنْيَا عُذِّبَ بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: “Sesiapa yang membunuh dirinya dengan sesuatu benda di dunia, dia akan diazabkan dengan benda tersebut di hari kiamat.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
Daripada Jundub bin Abdillah R.A. (جندب بن عبد الله), katanya Nabi S.A.W. bersabda:

كَانَ فِيمَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ رَجُلٌ بِهِ جُرْحٌ فَجَزِعَ فَأَخَذَ سِكِّينًا فَحَزَّ بِهَا يَدَهُ فَمَا ‏ ‏ رَقَأَ ‏ ‏ الدَّمُ حَتَّى مَاتَ قَالَ اللَّهُ تَعَالَى ‏ ‏بَادَرَنِي عَبْدِي بِنَفْسِهِ حَرَّمْتُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ
Maksudnya: “Dahulu dikalangan umat sebelum kamu ada seorang lelaki yang ada kecederaan (kemudian menjadi ulser), lalu dia tidak bersabar menanggung kesakitannya, lalu dia mengambil pisau dan memotong tangannya sehingga darah tidak berhenti sehinggalah dia mati. Firman Allah S.W.T.: “Tergesa-gesa hambaku kepadaKu (dengan membunuh diri), aku haramkan untuknya syurga.” (al-Bukhari dan Muslim)
 

Adapun mengenai teks hadith yang menyatakan orang yang membunuh diri itu kekal selama-lamanya di dalam neraka, para ulama menyatakan, ia ditujukan kepada orang yang menghalalkan perbuatan membunuh diri tersebut, atau maksudnya boleh difahami dengan memanjangkan tempoh azab ke atasnya di dalam neraka.

Wallahu a'lam.

Bagi mengelakkan masalah ini daripada bertambah, kita sebagai saudara se-Islam, bertanggungjawab untuk membantu saudara kita yang berhadapan dengan masalah. Individu juga sebaik-baiknya meminta pertolongan daripada orang yang dipercayai seperti saudara mara yang bertanggungjawab, guru yang memahami, sahabat yang budiman mahupun kaunselor yang arif.

Perintah meminta pertolongan kepada makhluk ini turut dinyatakan dalam galakan Rasulullah SAW agar orang Mukmin saling membantu memenuhi hajat dan keperluan saudaranya, memudahkan kesusahan orang lain dan membantu melepaskan suatu bebanan.


Bahkan, ia terdapat dalam peringatannya daripada melalaikan amalan tersebut. Hal-hal seperti ini banyak terdapat dalam sunnah. Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan: Sesiapa yang menunaikan hajat saudaranya, maka Allah akan menunaikan hajatnya pula. 


Telah meriwayatkan Muslim dan Abu Daud serta lain-lainnya daripada Rasulullah SAW bersabda: "Allah sentiasa membantu hamba selama hamba tersebut membantu saudaranya yang lain. 


Rasulullah SAW juga bersabda: "Sesungguhnya Allah mempunyai makhluk yang Dia mencipta mereka untuk menunaikan keperluan-keperluan orang lain; ramai manusia yang datang kepadanya membawa hajat-hajat mereka. Mereka adalah orang-orang yang aman dari azab Allah." Perhatikanlah sabda Rasulullah SAW: "Orang ramai datang membawa hajat-hajat mereka". Rasulullah SAW tidak menggolongkan orang ini dalam golongan mereka yang melakukan kesyirikan. Bahkan juga bukan daripada golongan yang melakukan dosa atau maksiat.

Al-Tabrani dan juga Ibnu Abi al-Dunya meriwayatkan daripada Rasulullah: "Sesungguhnya Allah mempunyai beberapa kaum yang diberikan khusus kepada mereka nikmat-nikmat untuk manfaat hamba-hamba-Nya. Allah menetapkan mereka dalam nikmat tersebut selama mereka mencurahkan nikmat tersebut (kepada hamba-Nya). Maka apabila mereka tidak mahu mengeluarkan nikmat tersebut (untuk orang ramai), Allah mencabutnya daripada mereka, lalu mengalihkannya kepada orang lain." 

Sabda Rasulullah: "Seseorang kamu yang berjalan bersama saudaranya kerana menunaikan hajatnya - sambil mengisyaratkan dengan jarinya - adalah lebih afdal daripada beriktikaf di dalam masjidku ini selama dua bulan." (Riwayat al-Hakim dan beliau berkata: Hadis ini sahih sanadnya. Demikian juga seperti yang terdapat di dalam al-Targhib (3/372).
Wallahu a'lam.



Sumber: 


No comments:

Post a Comment